Ads by

Monday, April 23, 2007

Suami & Senyuman


Senyuman adalah sedekah dan dengan senyuman ia akan mengembirakan teman kerana senyuman itu menandakan kasih. Semua orang  selalunya ingin dikasihi. Adalah perkara yang amat memilukan dan menyedihkan jika seseorang itu merasakan dirinya tidak dikasihi oleh seseorang.

Senyuman adalah gerak dibibir yang datangnya dari hati. Jika senyuman diberi dengan ikhlas ia akan mendatangkan kesan yang besar. Apabila kita kembali ke rumah menemui isteri, berilah salam dan senyuman. Anggaplah isteri sebagai teman yang lama tak dijumpai.
Dengan memberi senyuman ia akan mengembirakan hati isteri. Isteri di rumah sibuk menguruskan anak-anak, membasuh pinggan mangkuk dan kain baju. Temannya hanyalah kerja yang tidak mempunyai perasaan seperti insan dan tidak dapat menghargai letih dan penatnya. Kepenatan ini akan hilang jika bertemu kembali dengan suaminya dan suaminya pula mengukir senyuman sebagai tanda gembiranya terhadap isteri dan kerjanya. Walaupun kerja-kerja rumah tidak dapat dilaksanakan dengan baik,janganlah bermasam muka. Anggaplah kerja rumah itu kerja si suami dan isteri melakukannya hanyalah sebagai ihsannya.

Janganlah kembali ke rumah dengan bermasam muka dan perasaan marah. Ukirlah senyuman walaupun dibuat secara paksa. Janganlah dibawa masalah diluar seperti masalah kerja,masalah rakan dan pejabat ke rumah. Janganlah lepaskan kemarahan itu kepada isteri. Adalah menjadi satu kezaliman disebabkan kemarahan kita terhadap orang lain,isteri yang lemah menjadi sasaran kemarahan kita.

Isteri kita adalah seorang wanita.Perwatakannya adalah lembut.Nabi S.A.W bersabda(lebih kurang maksudnya dalam bahasa Melayu),


"Yang paling baik diantara kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya".(Hadith riwayat Baihaqi dan Abdullah b.Mas’ud R.A).

Di antara 3 perkara Nabi s.a.w sukai ialah wanita. Maksudnya supaya wanita disayangi,dilayan dengan lembut dan wanita yang soleh itu adalah harta dunia yang paling baik.

Oleh kerana wanita kelakuannya lembut, hatinya tidak akan dapat dipikat dengan kekerasan. Kelembutan wanita menyebabkan ia mudah tertawan gerak geri dan perkataan yang lembut. Kekerasan akan membuatkan wanita menjadi lebih keras, menimbulkan kebencian dihatinya dan dia akan melawan dengan tidak mentaati suaminya.

Tarbiah untuk wanita terletak ditangan suami. Suamilah yang bertanggungjawab membentuk akhlak isteri. Sekiranya isteri mendapat tarbiah yang baik dia akan membantu suaminya jalan ke syurga. Jika wanita menjadi buruk ia akan menjadi pembawa suaminya ke neraka.
Kasih sayang terhadap isteri bukan bermakna membiarkan isterinya melakukan perkara yang tidak baik. Isteri perlu diberi nasihat. Apabila kita dapat menawan hati isteri, nasihat kita akan diterimanya. Jika kita berkeras dengannya, rasa benci akan datang dihatinya. Nasihat yang baik sekalipun tidak akan didengarnya.

Nabi saw bersabda (lebih kurang maksudnya dalam bahasa Melayu),

"Wanita dicipta dari tulang rusuk dan yang paling bengkok di tulang rusuk ialah bahagian atasnya.Jika kamu cuba betulkan ia nescaya akan patah dan jika kamu biarkan maka berterusan ia dalam keadaan bengkok". (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah RA.)

Kekerasan tidak perlu dalam tarbiah.Apa yang diperlukan adalah kasih sayang dan menasihati dengan cara yang lemah lembut dan berulang-ulang.

Senyuman adalah amalan yang mahal. Ia adalan sedekah dan tidak memberatkan pemberinya. Kita tidak perlu berbelanja untuk melakukannya dan kesannya amat menggalakkan. Lemparkanlah senyuman setiap kali memandang isterimu terutama apabila kembali ke rumah. Walaupun kamu tidak mahu tersenyum disebabkan banyak masalah, paksalah diri untuk senyum. Berpura-pura senyum pada isteri walaupun hati tidak mahu adalah lebih baik daripada bermasam muka dan menunjukkan perasaan hati.

Seringkali kita melepaskan perasaan kita kepada isteri. Kita malu melepaskannya kepada orang lain kerana kita ingin berpura-pura menjadi orang yang baik. Sekiranya kita boleh berpura-pura dengan orang lain untuk menunjukkan diri kita baik dan tidak mudah marah, kenapa kita tidak boleh berpura-pura kepada isteri, teman yang sentaisa bersama kita (senang dan susah).

Kita harus menyimpan masalah kita kepada diri sendiri (yang mengakibatkan timbul kemarahan dalam hati) dan tidak melepaskannya kepada orang lain apatah lagi kepada isteri kita. Banyak orang yang kelihatan begitu baik diluar tetapi menjadi pemarah dan pengganas dirumah. Ini salah tempatnya. Akibat keresahan hati kita,isteri menjadi mangsa. Isteri dimarahi dan dipukul kerana tersalah sedikit, akhirnya perhubungan menjadi renggang.
Apabila hubungan menjadi renggang, anak-anak menjadi mangsa pertengkaran dan anak tidak akan faham apa itu erti kasih sayang. Anak-anak akan membesar dalam keadaan ibubapanya sentiasa bertengkar.

Bagaimana perasaan hati diluahkan? Menyimpan masalah dihati tanpa memberitahu kepada sesiapa boleh menyebabkan kekusutan fikiran dan akhirnya mengubah tingkah laku dan boleh menyebabkan penyakit. Oleh yang demikian agama Islam mengajar kita agar menghadapi masalah kita dengan mendirikan solat dan selepas solat kita mengadu kepada Allah swt.

Allah swt. memerintahkan kita supaya apabila tersua dengan kesusahan, agar sabar dan sembahyang. Solat ditengah malam adalah waktu yang amat sesuai untuk mengadu kepada Allah swt. Apabila kita berbuat demikian, keresahan akan hilang, bantuan dan rahmat akan mulai datang.Apabila keresahan telah hilang, kita boleh kembali mengukir senyuman disiang hari. Kepada manusia kita senyum terutamanya kepada isteri tercinta dan malam hari kita mengadu dan menangis kepada Allah swt. Inilah cara hidup orang yang beragama.

Senyumlah selalu dan berilah senyuman pada isterimu...